Purnama di Bumi Pahang

menyuluh kelam kehidupan orang Pahang

Archive for the ‘Yuran Sekolah’ Category

NAIKKAN KADAR GERAN PER KAPITA MURID SEKOLAH

Posted by alahmadi di Februari 13, 2009

Rakyat menarik nafas lega apabila sesi persekolahan yang dibuka di awal Januari 2009, tidak ada sebarang yuran dikenakan melainkan hanya kos pembelian buku latihan dan yuran takaful berkelompok.

‘TAHNIAH’ kerajaan Barisan Nasional (BN) terutamanya Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Tun Hussein kerana dengan liciknya ‘telah mengotakan’ manifesto BN UNTUK MENYEDIAKAN PENDIDIKAN PERCUMA UNTUK RAKYAT MALAYSIA. Menteri Umno itu kini boleh berlepas tangan kerana jika pun ada bayaran tambahan dikenakan kepada para pelajar dan ibu bapa mulai Mac akan datang, bayaran itu ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PIBG.!!!

Bermula Februari hingga Mac ini PIBG sekolah-sekolah di negeri Pahang akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan antara agenda utamanya ialah membincangkan isu bayaran tambahan seperti mana diminta oleh Jabatan Pelajaran Negeri. Kadar yuran tambahan yang ditetapkan PIBG adalah pelbagai, mengikut keperluan sekolah masing-masing. Alasannya untuk menampung kegiatan kurikulum dan kokurikulum. PIBG salah sebuah sekolah kebangsaan di Temerloh menetapkan kadar bayaran tambahan RM107.00 bagi pelajar Tahun 6 dan pelajar tahun lain RM57.00. Malah ada PIBG sekolah lain yang mengenakan kadar yang lebih tinggi.

Dalam kesuraman ekonomi dunia sekarang, nyata kadar bayaran tambahan tersebut menambah beban berpanjangan kepada ibu bapa terutama yang bergantung kepada pekerjaan tanpa pendapatan tetap. Nelayan laut dan nelayan sungai, penoreh getah, pemandu teksi, pemandu lori, buruh kasar, peniaga kecil, dan kakitangan sokongan di sektor awam serta swasta pasti menghadapi saat sukar pada ketika kos hidup melambung tinggi walaupun harga minyak turun berganda. Tidak mustahil ada yang terpaksa berhutang untuk membayar yuran sekolah terutama jika mereka pada masa sama mempunyai anak-anak yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi.

Ibu bapa yang terpaksa menghadapi kesukaran kewangan ini bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat, malah penyokong-penyokong tegar Umno-BN, anggota-anggota polis pelbagai pangkat, anggota JKKK dan seluruh rakyat marhaen. Ibu bapa mahu atau tidak terpaksa membayar yuran baru ‘yang dikenakan’ oleh PIBG jika tidak mahu pembelajaran anak-anak mereka terjejas.

Sebenarnya PIBG hanyalah sekadar kambing hitam sebagai helah menutup kelemahan kerajaan BN. Mungkin melalui pendekatan berhelah seperti ini mungkin pemimpin BN berjaya menjimatkan banyak wang kerajaan. Mungkin wang itu nanti ‘boleh digunakan’ untuk kempen pemilihan Umno Mac 2009, atau mungkin untuk membeli lebih ramai wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat supaya melompat menyertai BN.

PAS menggesa semua PIBG dan kesatuan profesion perguruan di seluruh negara bangkit memperbetulkan keadaan ini. Apa sebenarnya yang wajar dilakukan ialah Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula kadar geran per kapita yang diberikan kepada sekolah-sekolah.

Menurut sumber-sumber, kadar geran per kapita yang diberikan sekarang ini berbeza-beza mengikut kriteria sekolah. Namun difahamkan jumlah geran per kapita tersebut tidak mampu menampung keperluan sekolah sementelahan lagi kadar tersebut adalah kadar lama yang perlu dikaji semula sejajar dengan situasi sosioekonomi semasa. Justeru PAS Pahang menyarankan semua PIBG mengemukakan usul menggesa kerajaan mengkaji semula kadar geran per kapita murid sekolah dinaikkan kepada kadar baru yang lebih munasabah dalam bajet 2010. Mungkin kadar yang sesuai ialah melebihi RM300 bagi setiap murid.

Kerajaan BN hakikatnya menipu rakyat jelata dengan slogan Pendidikan Percuma Untuk Rakyat. Taktik inilah juga digunakan BN untuk mengelirukan rakyat dan istana untuk merampas kerajaan rakyat di Perak sehingga mengheret kepada krisis perlembagaan di negeri tersebut.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang

13 Februari 2009

Posted in Kebajikan, Pas Pahang, Pendidikan, Politik Malaysia, Yuran Sekolah | Di tag: , , , | Leave a Comment »